Sunday, 28 April 2019

Topik 12 Pengurusan murid pelbagai upaya


Pengurusan pelbagai upaya merupakan satu langkah ynag diambil untuk memberi bantuan kepada murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Pengurusan murid pelbagai upaya ini merujuk kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran sama ada dari segi mental atau fizikal dan lebih terarah kepada program pendidikan khas. Dalam erti kata lain, pengurusan pembelajaran ini memfokuskan murid yang berkeperluan khas atau lebih dikenali sebagai pelajar yang kurang upaya (OKU). Membincangkan bagaimana pengurusan yang khusus kepada pelajar yang berkeperluan khas. Program-program  pendidikan yang menggunakan kaedah-kaedah khusus dan sesuai untuk memenuhi keperluan-keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial individu-individu yang berkeperluan khas.

Tiga isi penting yang saya pelajari melalui topik ini adalah, pengurusan murid pelbagai upaya memfokuskan kepada tiga perkara utama iaitu pemulihan, pengayaan, dan berkeperluan khas.

Pemulihan bermaksud perbuatan untuk memulihkan sesuatu kepada keadaan semula. Pembelajaran pemulihan bermaksud memperbaiki sesuatu kekurangan. Menurut Ab. Rahman, et. al. 1997 dalam buku Pengantar Pendidikan Khas karya Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad (2011), pemulihan merupakan lanngkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Pelajar yang dikesan mempunyai masalah tersebut perlulah diberikan bantuan agar mereka dapat mengusai kemahiran 3M tersebut. Murid pemulihan merupakan murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif. Pemulihan mengutamakan Prinsip ‘Menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak kronik. Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Melalui program pemulihan khas, keperluan–keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi.

Selain itu, pengayaan bermaksud Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 693) mentakrifkan pengayaan sebagai perihal mengayakan, misalnya mengayakan atau meluaskan kosa kata. Ia memberi aktiviti tambahan kepada murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada itu. Murid-murid dapat meluaskan pengetahuan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan unit pembelajaran secara mendatar. Pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana dalam penguasaan kemahiran asas. Ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas di dalam atau luar kelas yang bercorak  belajar sendiri dan bimbingan guru pada tahap minima. Terdapat dua jenis aktiviti pengayaan iaitu pengayaan mendatar dan pengayaan menegak. Pengayaan mendatar merupakan aktiviti yang dijalankan kepada murid yang mempunyai tahap pencapaian yang rendah manakala pengayaan menegak dilakukan kepada murid dalam kumpulan cerdas.

Seterusnya adalah berkeperluan khas. Sheila & Samsilah (2006) mengkategorikan murid berkeperluan khas adalah kanak-kanak yang memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Murid berkeperluan khas terbahagi kepada murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Kumpulan murid berkeperluan khas ini sudah pasti mempunyai masalah dalam pembelajaran mereka. Oleh itu, murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran ini memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza berbanding dengan murid-murid yang biasa.

Teori kecerdasan pelbagai diasaskan oleh Dr Howard Gardner pada tahun 1983.Menurut beliau kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan dan suasana pembelajaran. Terdapat 9 jenis kecerdasan untuk mengukur tahap kecerdasan individu.

1.      Kecerdasan logic-matematik - Pelajar mempunyai kelebihan dalam matematik. golongan yang mempunyai pemikiran yang saintifik, pemikiran secara heuristik, induktif dan deduktif, membuat inferens, generalisasi, perhitungan dan pengujian hipotesis. Kemahiran dominan di bahagian otak kiri memungkinkan seseorang itu berfikir secara konseptual dan abstrak.
2.      Kecerdasan verbal linguistic - Golongan ini mempunyai kebolehan dalam menggunakan bahasa dan kata-kata dalam menyampaikan sesuatu sama ada melalui lisan atau penulisan. Memahami bahasa yang kompleks selain lebih sensitif dan peka terhadap sesuatu perkataan. Mahir dalam memanipulasikan ayat, tatabahasa atau struktur bahasa, fonologi iaitu unsur bunyi, semantik iaitu makna bahasa, pragmatik iaitu penggunaan bahasa, dan pengucapan awam.
3.      Kecerdasan muzik - Golongan ini mempunyai kebolehan dalam bidang muzik sama ada menggemari, mendiskriminasi, mengekspresi, mempersepsi, membeza, mengubah dan meluahkan perasaan melalui muzik. Peka terhadap bunyi nonverbal iaitu bunyian daripada alam semulajadi seperti binatang, guruh dan angin. Kecerdasan muzikal ini mempunyai hubungan yang paralel dengan kecerdasan bahasa.
4.      Kecerdasan kinestetik badan - Individu jenis ini mempunyai kelebihan dalam menggunakan badan mereka sama ada sebahagian atau keseluruhannya dalam berkomunikasi dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Mempunyai kebolehan dalam meluahkan idea atau perasaan melalui tubuh badan mereka. Mereka juga bijak dalam mengimbangi pergerakan fizikal dan mental.
5.      Kecerdasan interpersonal - Golongan ini berkebolehan dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik. Mereka berkemampuan dalam memahami dan membezakan perasaan, keinginan hati, hasrat dan tabiat orang lain. Mudah bergaul dalam kelompok sosial dan mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang ada.
6.      Kecerdasan intrapersonal - Mempunyai kebolehan dalam menilai diri sendiri dan mempunyai gambaran yang tepat tentang diri sendiri. Mereka berupaya dalam memperbaiki diri mereka kearah kehidupan yang lebih baik. Mampu menentukan hala tuju hidup mereka serta sangat berdisiplin dan mampu hidup berdikari, dan suka bersendirian dalam melakukan sesuatu perkara.
7.      Kecerdasan ruang visual - Individu ini memahami hubungan antara objek dengan ruang dan mampu mencipta imaginasi yang agak tinggi. Peka terhadap warna, garisan, bentuk, corak dan ruang dalam kawasan persekitaran mereka. Mampu berfikir diluar kotak malah berkeupayaan dalam membuat persepsi atau penilaian alam sekitar dengan tepat .
8.      Kecerdasan naturalis - Mempunyai kebolehan dalam mengenal pasti, mengkategori pola, corak atau bentuk yang ada pada alam sekeliling. Golongan yang sangat sukakan alam sekeliling dan sangat selesa berada bersama alam terbuka. Sangat sensitif terhadap isu-isu mengenai alam sekitar global, isu kemanusian dan isu sejagat serta meminati unsur kejadian alam.  
9.      Kecerdasan eksistensialis - Mempunyai persoalan-persoalan yang timbul tentang kehidupan realiti yang sering dilalui oleh golongan manusia. Golongan ini sangat gemar membaca buku-buku falsafah bagi menjawab setiap persoalan yang muncul dalam fikiran mereka. Golongan ini juga cenderung untuk menelaah nilai-nilai yang berkembang dalam kehidupan masyarakat, sama ada nilai-nilai tradisional ataupun nilai-nilai moden yang berkembang pada masa kini.

Kesimpulannya, pengurusan pelbagai upaya merupakan satu aktiviti yang dijalankan bagi membantu murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar pelbagai upaya memerlukan pengajaran pada kelajuan yang sesuai, kerja kognitif yang berpatutan, standard prestasi yang realistic dan peluang sesuai untuk mereka mencapai potensinya. Walau bagaimanapun kanak-kanak pintar cerdas tidak seharusnya diasingkan dengan kanak-kanak normal kerana kita tidak boleh wujudkan pengasingan social (social isolation) kepada mereka. Kesedaran sosial datang bersama pengalaman. Menurut Leinhard & Pallay (1982), persekitaran yang sesuai untuk perkembangan potensi pelajar pintar cerdas adalah seperti kelas yang kecil (10-15 murid), masa ditingkatkan untuk aktiviti kognitif, kelajuan yang sesuai, dan peningkatan masa pengajaran guru, memberi tugasan yang bersesuaian banyak dan tumpuan kepada kognitif di dalam pembelajaran.

No comments:

Post a Comment